KPDNKK WPKL LAKSANA OPS CATUT 4.0

 

KUALA LUMPUR, 30 MEI 2018 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur melalui seramai 90 pegawainya telah mengadakan pemeriksaan dan membuat kutipan harga lebih 11,000 barangan dan perkhidmatan yang dikenakan 6 %  kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di premis-premis perniagaan peringkat runcit.

Usaha yang dimulakan sejak 24 hingga 30 Mei lalu membabitkan kesemua 11 kawasan Parlimen di bandaraya ini. Ia bertujuan untuk membuat pemantauan terhadap perubahan harga barang dan perkhidmatan selepas perubahan kadar cukai GST daripada 6 % kepada 0 % pada 1 Jun nanti.

Pemeriksaan yang dilaksanakan secara menyeluruh itu dinamakan Ops Catut 4.0 bagi memastikan semua premis perniagaan yang berdaftar dengan Jabatan Kastam DiRaja Malaysia menyelaras semula kadar cukai GST bagi mengelakkan sebarang manipulasi harga impak daripada pelaksanaan perubahan cukai.

Menurut Pengarah KPDNKK WPKL, Ummi Nasrah Othman, selain pemeriksaan di kedai-kedai runcit dan pasaraya, pegawai-pegawai penguatkuasa turut menjalankan pemeriksaaan harga barangan basah dan kering seperti ikan, ayam, daging, telur, bawang serta sayur-sayuran di pasar-pasar awam di sekitar bandaraya ini bagi memastikan harga barangan berada dalam keadaan stabil dan terkawal.

Beliau yang ditemui ketika menyertai pemeriksaan di Pasar Jalan Kelang Lama dekat sini berkata, sebanyak 46 daripada lokasi bazar Ramadan turut diperiksa setiap hari dengan melibatkan lebih 7000 gerai atau premis jualan bagi memastikan peniaga mematuhi undang-undang serta peraturan yang ditetapkan.

Sejak Januari hingga Mei tahun ini, KPDNKK WPKL telah menjalankan pemeriksaan ke atas 8,813 premis perniagaan  dengan menghasilkan 93 kes yang disiasat bersabit pelbagai kesalahan yang dilakukan di bawah akta dan peraturan di bawah bidang kuasa KPDNKK dengan nilai rampasan melebihi RM 1.4 juta.

 

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNKK

Anda Mungkin Juga Berminat Lebih Dari Pengarang yang sama


Jumlah Pelawat