NAWEM BANTU WANITA B40 UNTUK TAMBAH PENDAPATAN

PETALING JAYA, 25 OGOS 2018 – Inisiatif yang diambil National Association of Women Entrepreneurs of Malaysia (NAWEM) membantu wanita golongan B40 untuk menambah pendapatan melalui berniaga disambut baik.

Inisiatif mereka yang mahu melihat golongan wanita berjaya dalam bidang perniagaan melalui bimbingan serta mendapatkan peluang-peluang samada bermula secara kecil-kecilan hingga mampu bersaing di peringkat yang lebih terbuka perlu disambut oleh golongan ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato’ Saifuddin Nasution Ismail ketika merasmikan Program Nawem Loreal – Sambutan Hari Wanita di Paradigm Mall dekat sini hari ini memuji langkah Nawem yang mahukan kaum wanita khusus daripada golongan B40 untuk berdikari dan merebut peluang dalam bidang keusahawanan.

Katanya, sebagai kaum yang mempunyai jumlah yang ramai atau di mana-mana institusi di negara ini, memerlukan kaum hawa ini cuba menerokai bidang perniagaan yang memberi lebih peluang untuk mempertingkatkan taraf ekonomi mereka.

Menurutnya lagi, dalam institusi rumah tangga, kaum wanita menjadi penentu kepada pembelian dan penggunaan barangan keperluan harian. Mereka yang sering menentukan jenis barangan yang perlu dibeli, disimpan sehingalah apa yang perlu dimasak.

Ini membuktikan bahawa kuasa pengguna terletak kepada sebahagian besar kaum wanita. Pembabitan wanita dalam bidang perniagaan melalui bimbingan dan tunjuk ajar Nawem, membolehkan mereka sentiasa bersifat dinamik dalam merangka strategi pemasaran dari menentukan produk-produk yang dihasilkan mengikut peredaran semasa sehinggalah pemilihan media sosial sebagai kaedah pemasaran yang efektif.

Nawem yang berusia 25 tahun pada tahun ini akan terus melangkah bagi memastikan golongan wanita tidak ketinggalan dalam persaingan dan sentiasa merangka perancangan untuk meningkatkan peluang untuk kumpulan itu.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Kepenggunaan Dan Pengurusan) KPDNHEP, Datuk Muez Abd Aziz, Puan Sri Susan Cheah selaku Timbalan Presiden Nawem dan Pengarah Urusan L’Oreal Malaysia, Malek Bekdache.

 

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP