PAMER GAYA KEPIMPINAN TERHEBAT

MELAKA, 17 OGOS 2018 –  Pegawai-pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) disaran agar mempamerkan gaya kepimpinan terhebat yang boleh dijadikan ikutan dan teladan kepada warga kerja yang lain.

Ketua Setiausahanya, Dato’ Sri Jamil Salleh berkata, nilai dan keperibadian seseorang itu diukur pada gaya kepimpinan dan kemampuan membuat serta melaksanakan sesuatu perancangan itu.

Katanya, kepimpinan yang berkesan akan menghasilkan kerjasama yang mantap dan pelaksanaan yang mantap.

Selain itu, warga kerja KPDNHEP perlu komited pada setiap tugas yang diberikan tanpa wujudnya perasaan rasa terpaksa melakukannya sehingga menyerlahkan ketidakikhlasan seseorang itu melaksanakan tugasnya.

Dato’ Sri Jamil berkata demikian pada sesi ramah mesra dengan 35 peserta Kursus Kepimpinan bertempat di Casrina Chalet, Pantai Rombang, Tanjung Keling dekat sini, malam tadi.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Penguatkuasa, Dato’ Mohd. Roslan Mahayuddin, Pengarah Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Mohd. Nor Azam Samah serta Ketua Seksyen Harta Intelek KPDNHEP, Rosli Haji Ahmad.

Dato’ Sri Jamil berjanji akan memberi perhatian kepada kebajikan dan laluan kerjaya pegawai-pegawai penguatkuasa dengan memberi peluang untuk kenaikan pangkat dan tawaran-tawaran lain kepada mereka yang layak.

Kursus tiga hari itu dianjurkan Bahgian Pengurusan Sumber Manusia di mana peserta berpeluang untuk mendalami ilmu kepimpinan melalui perkongsian ilmu dari penceramah, aktiviti berkumpulan, sukan dan sosial.

 

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP