PEMANTAUAN DAN PENGUATKUASAAN SEPANJANG MASA

PUTRAJAYA, 28 MEI 2018 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melaksanakan pemantauan  dan penguatkuasaan sepanjang masa dalam memastikan kestabilan permintaan dan penawaran.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNKK, Dato’ Mohd. Roslan Mahayuddin berkata, antara tindakan yang diambil adalah menguatkuasakan Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan bagi mengelakkan peniaga mengambil untung secara tidak munasabah.

Selain ini, pihaknya turut menguatkuasakan Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga oleh Penjual Runcit 1993) bagi mewajibkan peniaga meletak tanda harga ke atas baragan yang dijual atau mempamerkan senarai harga.

Katanya, operasi yang menyeluruh merangkumi semua lokasi yang menjalankan aktiviti urus niaga serta semua peringkat perniagaan seperti pengilang atau pengeluar, pembekal atau pengedar, pemborong, pasaraya, kedai runcit, pasar raya besar dan bazar Ramadan, gerai makanan dan medan selera.

Katanya operasi itu dilaksanakan bersama agensi-agensi lain yang mempunyai bidang kuasa ke atas aktiviti perniagaan untuk penguatkuasaan yang lebih berkesan.

“Pemeriksaan merangkumi semua barang – barang keperluan terutamanya barang kawalan barangan makanan, barangan kegunaan rumah serta makanan sedia masak dan minuman,” ujarnya pada sidang medianya di sini, hari ini.

Menurut Dato’ Mohd Roslan, KPDNKK turut meningkatkan keberadaan pegawai-pegawai penguatkuasa di tempat-tempat terpilih yang menjadi tumpuan orang ramai melalui tindakan omnipresence.

Selain itu, KPDNKK turut memperkukuhkan pemantauan harga dengan mengadakan kerjasama dengan pelbagai pihak seperti RELA, Pegawai Pemantau Harga, Friends Of KPDNKK dan kerajaan-kerajaan negeri.

Orang ramai katanya, boleh menyalurkan aduan melalui pelbagai medium yang disediakan mengenai isu harga barangan di pasaran. Mereka juga perlu melaporkan kepada KPDNKK atau Jabatan Kastam sekiranya ada peniaga yang masih mengenakan cukai GST selepas 1 Jun ini.

 

Oleh : Unit Momunikasi Korporat KPDNKK

Anda Mungkin Juga Berminat Lebih Dari Pengarang yang sama


Jumlah Pelawat