PETUNJUK POSITIF DALAM EKONOMI NEGARA

PETALING JAYA, 6 SEPTEMBER 2019 – Perangkaan terkini yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bahawa ekonomi negara menunjukkan perkembangan kepada 4.5 peratus dalam suku tahun kedua tahun ini.

Sektor perkhidmatan kekal pada paras 6.5 peratus manakala sektor pemborongan dan peruncitan mencatatkan kenaikan sebanyak 7.3 peratus yang disumbangkan menerusi urusniaga cergas isi rumah dalam negara.

Kajian Grand Thornton International Report (IBR) menyatakan masa depan urusniaga di negara ini melonjak daripada 24 peratus kepada 52 peratus pada akhir suku tahun kedua 2018 berbanding cuma 28 peratus dalam suku pertama tahun ini.

Peningkatan ini menunjukkan urusniaga tempatan mencatatkan kenaikan yang tertinggi dalam rantau ASEAN.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Tuan Chong Chiang Jen yang mewakili Menteri KPDNHEP berkata, sungguhpun pertumbuhan positif ini memberi khabar gembira, namun saya masih memandang serius kepada isu kos sara hidup.

Di antara faktor yang menyumbang kepada isu sara hidup ini ialah makanan, pendidikan, kesihatan, pengangkutan dan perumahan.

“Sebagai kementerian yang bertanggungjawab terhadap perdagangan dalam negeri, kami akan memberi fokus utama kepada isu-isu yang berbangkit itu. Salah satu inisiatif yang diambil ialah dengan memperkenalkan program Food Bank Malaysia yang bermatlamat untuk membantu golongan yang berpendapatan rendah dalam menangani isu kos sara hidup,” ujarnya ketika berucap pada majlis Malaysia AEON Foundation Charity Gala Dinner 2018 di Grand Sunway Convention Centre di sini, malam tadi.

Malam yang bertemakan “Under Our Wings” di antara lain bertujuan mengutip dana bagi tabung kebajikan dan program-program tanggungjawab sosial korporat yang dijalankan mereka. Melalui program ini, AEON berhasrat mewujudkan kerjasama dua hala di antara pihak syarikat dengan masyarakat. Melalui aspirasi ini, usaha membantu golongan yang kurang berkemampuan dapat dilaksanakan dengan lebih meluas dan berkesan.

 

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP.